BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, March 28, 2010

Perkembangan motor

DEFINISI

Perkembangan motor bermaksud perubahan dalam keupayaan sistem saraf-otot dalam penguasaan kemahiran motor sepanjang hayat hasil daripada interaksi antara tugasan, individu dan persekitaran. Faktor tugasan merangkumi fizikal dan mekanikal. Ini bermaksud fizikal yang sihat akan menyempurnakan tugasan dengan baik. Faktor individu merangkumi keturunan dan biologi. Manakala faktor persekitaran pula merangkumi pengalaman, pembelajaran dan didikan.

ISTILAH DALAM PERKEMBANGAN MOTOR

Terdapat empat istilah dalam perkembangan motor iaitu pertumbuhan, perkembangan, kematangan dan pengalaman. Pertumbuhan bermaksud pertambahan saiz dari segi fizikal, dapat dilihat oleh mata kasar dan diukur secara kuantitatif. Contohnya, pertambahan saiz tisu, organ tulang dan otot. Semakin meningkat umur seseorang manusia yang normal, semakin bertambah saiz ototnya. Perkembangan bermaksud adaptasi ke arah yang lebih baik (positif) dan diukur secara kualitatif. Contohnya kanak-kanak sudah mengalami perkembangan sekiranya mereka telah tahu membaca, mengira dan menulis. Tahap perkembangan ini boleh dilihat apabila kanak-kanak semakin lama semakin mahir dalam sesuatu perkara. Kematangan bermaksud urutan tetap ikut umur. Kanak-kanak yang meningkat umur akan meningkat tahap kematangan perkembangan motor kasar dan motor halusnya. Jika motor kasar dan motor halus mereka sudah mengalami kematangan, maka mereka dapat melakukan aktiviti fizikal yang sesuai dengan tahap umur mereka. Pengalaman pula bermaksud faktor persekitaran yang boleh mengubah tingkahlaku seseorang. Melalui pembelajaran (persekitaran), kanak-kanak mendapat pengalaman yang akan mengubah tingkahlakunya sama ada positif atau negatif. Persekitaran yang baik akan menjadikan tingkahlaku yang positif dan sebaliknya.

ARAH PERKEMBANGAN MOTOR

Terdapat dua prinsip arah perkembangan motor iaitu cephalo caudal dan proximo distal. Cephalo caudal ialah dari arah atas ke bawah iaitu kawalan perkembangan tersebut bermula dari kepala, leher sebelum ke tangan dan kaki. Proximo distal pula ialah dari arah tengah (axis) ke tepi. Kawalan bermula dari tengah badan (trunk) sebelum ke tangan atau kaki.

FASA PERKEMBANGAN MOTOR

Terdapat tiga fasa perkembangan motor iaitu stabilizing, lokomotor dan manipulatif. Stabilizing atau keseimbangan ialah kawalan pergerakan badan yang melawan graviti. Lokomotor ialah pergerakan yang melibatkan penggunaan kemahiran motor kasar dan menyebabkan keseluruhan tubuh badan berubah kedudukan seperti berjalan dan berlari. Manipulatif pula ialah gabungan antara penggunaan kemahiran motor kasar dan motor halus. Guru boleh menyediakan aktiviti fizikal yang melibatkan kemahiran manipulatif ini berserta alatan seperti bola, gelung, reben dan sebagainya.

FASA PERKEMBANGAN PERGERAKAN MOTOR

Dua fasa perkembangan pergerakan motor yang ingin ditekankan disini ialah pergerakan refleks dan pergerakan asas. Pergerakan refleks merupakan pola perkembangan pertama manusia dan menjadi asas kepada semua fasa perkembangan motor. Pergerakan ini adalah tindakan tanpa belajar dan berlaku akibat respon kepada sesuatu ransangan (stimuli). Contoh pergerakan fefleks yang berlaku pada bayi ialah bayi akan membuka mulut apabila pipinya disentuh.

Perkembangan asas merupakan pergerakan akibat kombinasi tindakan refleks dan asas kepada pergerakan yang lebih kompleks. Terdapat empat konsep dalam pergerakan asas iaitu kesedaran tubuh badan, kesedaran ruang, beban dan perhubungan. Kesedaran tubuh badan ialah kanak-kanak menyedari yang tubuh mereka boleh melakukan pelbagai bentuk pergerakan. Contohnya memusingkan badan. Kesedaran ruang pula ialah kanak-kanak menyedari bahawa pergerakan yang mereka lakukan adalah melibatkan ruang, tidak kira luas atau sempit. Ruang tersebut melibatkan lokasi (ruang diri dan ruang am), arah (atas-bawah, kiri-kanan, depan-belakang), aras (rendah, sederhana dan tinggi), laluan (lurus, melengkung dan zig zag) serta ekstensi (besar-kecil dan jauh-dekat). Beban berkaitan dengan kelajuan sesuatu pergerakan. Beban merangkumi masa (cepat-lambat), daya (kuat-ringan) dan aliran (bebas-terikat). Perhubungan pula ialah perhubungan objek dengan manusia. Perhubungan dengan objek merangkumi atas-bawah, dekat-jauh, bertemu-berpisah dan keliling-sisi manakala perhubungan dengan manusia merangkumi memimpin-ikut, cermin-padan, solo, berpasangan dan berkumpulan.

0 comments: